Friday, April 17, 2009

"JIWA KOSONG, DAHAGA PERHATIAN "

1. “Jiwa mereka kosong kerana tidak mempunyai masa untuk diri sendiri seperti relaks atau melakukan kegiatan yang diingini. Keadaan mungkin dapat dielakkan jika mereka mempunyai pegangan agama kerana jiwa dan rohani mereka terisi,” kata pakar motivasi remaja, Dr Tengku Asmadi.

2. Berikutan itu, mereka menjadikan kesempatan menemui atau lepak bersama rakan-rakan di dalam atau luar sekolah, sebagai saluran melepaskan tekanan.

3. “Keadaan bahaya apabila mereka tidak pedulikan latar belakang rakan, asalkan boleh serasi. Jika rakan yang baik, tidak mengapa, tetapi andai kawan yang digauli itu nakal, ia boleh menarik pelajar itu terjebak sama.”

4. Faktor lain, katanya, adalah disebabkan keadaan diri pelajar sebagai golongan ‘pencari perhatian.’

5. “Pelajar bukan saja golongan yang suka mencuba pelbagai perkara baru. Tetapi mereka juga dahagakan perhatian, biarpun caranya berbeza antara satu individu kepada yang lain. Bagi pelajar cerdik, masalah itu tidak timbul kerana mereka sentiasa dipuji.

6. “Tetapi bagaimana dengan pelajar yang tidak pernah dipuji guru mahu pun ibu bapa sendiri? Ini menyebabkan ada di antara sanggup melakukan perkara seperti jenayah dan seterusnya dipuji rakan dalam kumpulan itu.

7. “Jika dihukum di khalayak ramai sekali pun, ada di antaranya berasa seronok dan bangga kerana sudah mendapat perhatian pelajar lain.”

8. Katanya, perkembangan masa kini yang menyaksikan kemudahan maklumat di hujung jari, juga mendedahkan pelajar kepada pelbagai pengaruh bahaya.

9. Dr Tengku Asmadi menyifatkan usia 14 hingga 15 tahun sebagai tempoh paling kritikal kerana pelajar itu dalam proses menuju keremajaan dan mencari identiti.

10. “Apa juga pengaruh yang datang, mudah meresap masuk. Keadaan mungkin sebaliknya jika mereka mempunyai benteng pertahanan diri dan mental hasil kekuatan rohani serta asuhan ibu bapa yang baik.”

11. Bagi menangani masalah ini, beliau berkata, ia seharusnya bermula di rumah dan barulah diikuti peranan guru dan sekolah.

12. “Ibu bapa perlu sedar mereka yang menetapkan acuan dan seterusnya diisi guru dan bahan lain yang menjadi sumber rujukan pelajar. Andai acuan itu lemah, sudah pasti diri pelajar itu juga goyah dan bermasalah," katanya.

BY Dr Tengku Asmadi (PAKAR MOTIVASI REMAJA) Beritaharian.com.my

------------------------------------

Renungan

Di dalam hati manusia ada satu kekosongan yang tidak dapat dipuaskan oleh apapun ciptaan di dalam dunia ini, kecuali oleh Tuhan sendiri di dalam Yesus Kristus.

Perhatian manusia terbatas dan dapat mengecewakan, hanya perhatian Tuhan Yesus yang kekal dan sempurna.

Bagi remaja Kristian, isilah dirimu dengan ajaran-ajaran Tuhan Yesus dan buatlah kegiatan-kegiatan yang baik dan dapat memuliakan Tuhan.

Setiap kegiatan yang anda lakukan bertanyalah di dalam hati, apakah kegiatan yang saya lakukan ini Tuhan senang melihatnya?

Apakah kegiatan yang akan saya lakukan ini atau yang sedang saya lakukan ini memuliakan Tuhan?

Ingat, Tujuan anda diciptakan adalah untuk memuliakan Tuhan!!

Bro Peter